7 JUN: Parti Bersatu Sabah (PBS) menolak sebarang kerjasama bersama Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, parti pelbagai kaum tempatan yang tertua di Sabah itu memilih untuk memberi komitmen sepenuhnya kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).
“Kami di PBS sangat menghargai isyarat politik WARISAN yang dipimpin Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ingin bekerjasama dan kolaborasi untuk pilihan raya akan datang.
“Tetapi sebagai parti lokal yang berbilang bangsa, kami memberi komitmen sepenuhnya dan setia sepenuhnya sebagai antara pengasas GRS dan rakan kongsinya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) berkata, perjuangan GRS seperti yang dikatakan oleh Pengerusinya, Datuk Seri Hajiji Noor adalah demi kepentingan rakyat.
“Kami mengajak WARISAN dan penyokong untuk bersama mencapai matlamat untuk membangunkan Sabah dan menjamin keamanan serta keselamatan negeri bebas dari pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.
Pada Ahad lalu, Mohd Shafie secara terbuka menyatakan mahu bekerjasama dengan parti tempatan terutama daripada PBS.