8 JUN: Kementerian Kewangan (MoF) masih mengkaji manfaat Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang dimansuhkan pada Jun 2018 sebelum dibawa ke mesyuarat Kabinet.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata selepas Malaysia tidak lagi mengamalkan sistem percukaian GST, hasil cukai negara berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara, kira-kira 11 peratus, lebih rendah berbanding negara jiran dan negara maju.
“Proses itu lama kerana GST adalah undang-undang yang dimansuhkan, justeru proses libat urus serta kajian diteruskan.
“Jika kajian menunjukkan GST memberi manfaat yang jelas ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet. Keputusan muktamad bukan pada kerajaan tetapi di Parlimen.
“Ia akan dibahaskan di Parlimen dan akan mengambil masa sekurang-kurangnya sembilan bulan,” katanya di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, ketika ini sebanyak 175 negara atau 90 peratus di dunia menggunakan sistem percukaian GST.
Tambahnya, ketika ini pihaknya sedang menilai pelbagai perkara membabitkan sistem percukaian, termasuk kadar yang boleh digunakan sekiranya kerajaan mahu memperkenalkan semula GST.
Beliau berkata, dalam meneliti sistem percukaian itu, pihaknya juga melihat alternatif lain termasuk memperbaiki sistem percukaian Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sedia ada.
Katanya, SST perlu diperhalusi kerana ia banyak ketidakcekapan.
“Berikutan itulah kebanyakan negara berpindah ke sistem percukaian GST,” katanya.