8 JUN: Malaysia membenam Turkmenistan 3-1 pada aksi kelayakan Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kemenangan itu menyaksikan Malaysia hanya memerlukan empat lagi mata daripada misi tujuh mata yang dilancarkan pengendalinya, Kim Pan Gon dalam misi mara ke pentas Asia tahun depan.
Skuad kebangsaan bermula garang dengan tidak membenarkan Turkmenistan memegang bola dan menguji gawang pelawat seawal minit keempat menerusi Safawi Rasid yang ditepis Orazmuhammedov Mammet.
Walaupun berbeza 20 anak tangga, Malaysia tidak gentar dengan reputasi Turkmenistan malah berjaya mempersembahkan kualiti permainan lebih kemas untuk mengungguli Kumpulan E mengatasi Bahrain dengan jumlah jaringan.
Gawang Turkmenistan hanya bertahan 10 minit selepas tampanan Orazmuhammedov yang cuba menepis hantaran Arif Aiman Hanapi tiba di kaki Safawi yang mudah meledak ke gawang untuk gol pembukaan negara.
Kesilapan pertahanan Turkmenistan dihukum Faisal Halim yang menyumbat masuk gol kedua Malaysia pada minit ke-15.
Kesilapan Shahrul Saad pada minit ke-37 membolehkan Turkmenistan menjadikan kedudukan 2-1.
Memasuki penghujung babak pertama, Malaysia tampak bermain dalam tekanan selepas Turkmenistan lebih banyak mengasak namun La Vere Corbin Ong mengembalikan kelebihan dua gol buat Malaysia sebelum tamat separuh masa.
Bersambung babak kedua, tiada tambahan gol dapat disaksikan namun Turkmenistan kehilangan seorang pemain selepas Bashimov Abdy dilayangkan kad kuning kedua kerana mengasari Mohamadou Sumareh di hujung permainan.