9 JUN: Seorang lelaki warga Palestin maut ditembak tentera Israel di Tebing Barat hari ini.
Kementerian kesihatan Palestin memaklumkan, mangsa, Mahmud Fayez Abu Ayhour, 27, terbunuh di Halhul, utara bandar Hebron dalam kejadian pertumpahan baharu di wilayah berkenaan.
Persatuan Bulan Sabit Merah, sebelum ini melaporkan beberapa kes kecederaan berikutan pergolakan di Halhul yang menyaksikan pertembungan antara pihak berkuasa Israel dan penduduk Palestin.
Dalam tempoh beberapa minggu lalu, tentera Israel menjalankan operasi hampir setiap hari di seluruh Tebing Barat, melakukan beberapa tangkapan, yang disifatkan mereka sebagai ‘operasi menentang keganasan’.
Tentera berkata, operasi terbaharu yang dijalankan semalaman, membabitkan sembilan tangkapan.
Seramai 19 orang, kebanyakannya orang awam Israel, termasuk 18 orang di dalam Israel dan seorang penduduk Yahudi, terbunuh dalam serangan oleh penduduk Palestin dan Arab Israel sejak akhir Mac lalu.
Pasukan keselamatan Israel bertindak balas dengan melakukan serbuan di dalam Israel dan di Tebing Barat, khususnya di dalam dan sekitar Jenin. Tiga penyerang Arab Israel dan seorang komando polis maut.
Seramai 40 rakyat Palestin terbunuh di Tebing Barat, disyaki militan, namun ada juga yang bukan dalam kalangan mereka, termasuk seorang wartawan Al Jazeera yang membuat liputan serbuan di Jenin dan mereka yang menyaksikannya. – AFP