9 JUN: Persidangan Agung Tahunan (PAT) BERSATU akan diadakan dari 12 hingga 13 November depan, kata Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Beliau berkata, persidangan cawangan parti pula ditetapkan dari 19 Ogos hingga 18 September depan, persidangan bahagian pada 8 hingga 9 Oktober dan perhimpunan agung sayap pada 10 hingga 11 November.
Katanya, keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU semalam yang dipengerusikan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Mesyuarat MPT juga memutuskan urusan pemilihan parti di peringkat cawangan akan ditangguhkan ke suatu tarikh tidak melebihi 18 bulan dari tarikh pemilihan yang sepatutnya diadakan.
“MPT juga sebulat suara bersetuju melantik Tan Sri Radzi Sheikh Ahmad sebagai anggota MPT yang baharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Hamzah berkata, BERSATU meminta kerajaan mengambil langkah komprehensif untuk membendung kenaikan harga dan memastikan bekalan barangan makanan dan keperluan harian mencukupi.
Beliau berkata, BERSATU akan memperluaskan program bantuan prihatin rakyat yang dilaksanakan parti itu termasuk program kebun komuniti yang kini sedang dilaksanakan di beberapa kawasan. – BERNAMA