9 JUN: Pengguna perkhidmatan Skypark Link dari KL Sentral, di Kuala Lumpur ke Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang, pasti menarik nafas lega apabila tambang perkhidmatan itu diturunkan daripada RM10 kepada RM3.50, berkuat kuasa hari ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata penjimatan sebanyak 64 peratus itu adalah pelarasan tambang perkhidmatan tren ekspres kepada kadar tambang perkhidmatan KTM Komuter Lembah Klang.
Selain itu, beliau berkata, kadar tambang konsesi potongan 50 peratus juga terpakai bagi kanak-kanak berumur dua hingga enam tahun, pelajar sekolah rendah dan menengah, warga emas serta orang kelainan upaya (OKU).
“Kerajaan sentiasa komited membantu B40 dan golongan rentan bagi pembangunan secara inklusif tanpa meminggirkan mana-mana kumpulan masyarakat.
“Pelbagai inisiatif dibangunkan kerajaan dan agensinya bagi memberi akses kepada rakyat serta mengangkat status sosioekonomi mereka.
“Seperti yang kita ketahui, kos pengangkutan awam adalah faktor ketiga terpenting dalam menyumbang kepada kenaikan mahupun penurunan kos sara hidup rakyat di negara ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Perkhidmatan Skypark Link KL Sentral ke LTSAAS, hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mohd Rani Hisham Samsudin.
Justeru, Ka Siong berkata, rakyat diseru memanfaatkan inisiatif itu bagi memastikan objektif Dasar Pengangkutan Negara (DPN) dapat dicapai, iaitu menyediakan mobiliti yang memenuhi permintaan rakyat dan inklusif.
Beliau berkata, kementerian juga akan memantau pencapaian dasar itu secara keseluruhan, melalui pemantauan berkala dan memastikan inisiatif pelaksanaannya bersifat dinamik seiring perubahan trend semasa.