10 JUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pendidikan masyarakat Orang Asli merupakan antara fokus utama kerajaan dengan tumpuan diberikan dalam mencari penyelesaian masalah keciciran murid daripada masyarakat itu di peringkat sekolah menengah.
Menyifatkan pendidikan sebagai ‘laluan’ kepada mereka untuk mengubah nasib keluarga, beliau berkata, kerajaan setakat ini telah menyediakan pelbagai inisiatif bagi memudahkan lagi akses pendidikan kepada anak-anak Orang Asli bermula dari tahap rendah sehingga ke peringkat tertinggi.
Ini katanya termasuk mewujudkan tadika di perkampungan Orang Asli dan sekolah rendah berdekatan penempatan mereka sehinggakan isu keciciran sekolah rendah hampir tiada.
“Masuk ke sekolah menengah, ini masalah besar, sebab tidak ada sekolah menengah boleh dibina di perkampungan Orang Asli kerana penduduk tak ramai.
“Bagaimanapun, kita hantar mereka ke sekolah menengah yang disediakan asrama. Kerajaan sedang cari formula untuk mengatasi masalah ini kerana yang pasti kerajaan tidak mahu anak-anak siapa pun tidak kira Orang Asli mahupun etnik lain ketinggalan dari segi pendidikan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Orang Asli Semenanjung Malaysia (POASM) di Bera hari ini.
Ismail Sabri berkata, kerajaan juga menyediakan laluan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara dan institusi pengajian tinggi awam selain memberi biasiswa penuh untuk masyarakat itu melanjutkan pengajian ke luar negara.
Pada perkembangan lain, Ismail Sabri turut memaklumkan kerajaan akan memperbanyakkan Balai Internet di perkampungan Orang Asli dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Multimedia.
“Melalui pusat ini masyarakat Orang Asli dapat mempelajari untuk menjual secara dalam talian ia juga sekali gus dapat memastikan anak-anak mereka tidak ketinggalan dalam dunia pendidikan yang kini menggunakan Internet,” katanya.
Mengenai isu pewartaan tanah perkampungan Orang Asli, Perdana Menteri berkata, sebanyak 216 tanah sudah diwartakan setakat ini, 427 lagi dalam permohonan dan 117 lagi belum mengemukakan permohonan itu.
Beliau berkata, isu itu akan dibawa dalam mesyuarat bersama Menteri-Menteri Besar akan datang memandangkan bidang kuasa tanah tertakluk kepada kerajaan negeri, selain Jabatan Kebajikan Orang Asli akan diminta turun padang bertemu pemimpin perkampungan yang masih belum membuat permohonan.
“Kita mahu selesaikan masalah pewartaan ini untuk mengelakkan berlaku pertindihan tanah dan jika ada cadangan untuk memajukan tanah tersebut. Fokus kerajaan juga untuk membangunkan infrastruktur di kawasan kampung yang telah diwartakan.
“Kita juga harap Tok Batin dapat menasihatkan masyarakat mereka untuk tidak mudah berpindah atau membuka kampung serpihan yang tidak ada permohonan (pewartaan) yang menyukarkan kita memberi bantuan sewajarnya,” katanya.
Pada program itu, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM200,000 kepada POASM bagi membantu mereka melaksanakan aktiviti persatuan. – BERNAMA