10 JUN : Pas menyifatkan golongan yang gila kuasa adalah golongan yang secara berterusan mendesak Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU15 secara tergesa-gesa.
Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, kebiasaannya orang yang gila kuasa ini yang mahu percepatkan pilihanraya, manakala yang mahu menangguhkan pilihan raya pula sebaliknya kerana golongan ini berfikir panjang.
“PAS bukan parti yang gila kuasa hanya semata-mata kerana menolak Pilihan Raya Umum ke 15 diadakan dalam masa terdekat ini.
“Saya sudah sebutkan sebelum ini, kita perlu fikir tentang rakyat yang menghadapi masalah di samping COVID-19 yang belum diisytiharkan bebas dan hal-hal lain lagi,”jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di rumahnya selepas menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila di Marang hari ini.
Katanya lagi, penglibatan Pas dalam siri Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini adalah kerana terpaksa dan bukan kerana menyokong helah parti-parti tertentu untuk berkuasa.
PAS menurut Abdul Hadi, sudah biasa berada di bawah dan tidak gentar untuk kehilangan kuasa sebagaimana didakwa dan, parti itu juga bersedia dan boleh menerima hakikat jika tewas pada PRU15.
“Orang duduk di atas yang biasanya takut jatuh. Kita pernah kalah, selalu kalah dan menang sekali,” katanya lagi.
Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed semalam berkata, tindakan pemimpin Pas khususnya yang memegang jawatan dalam kerajaan campuran hari ini yang menolak untuk PRU15 diadakan awal adalah kerana mereka sudah kemaruk kuasa.