10 JUN: Polis Switzerland mengumumkan penemuan mayat anak lelaki sulung Gabenor Jawa Barat Ridwan Kamil, yang dilapor dihanyutkan arus sungai pada 26 Mei.
Mayat Emmeril Khan Mumtadz, 22, ditemukan dalam zon limpahan empangan Engehalde di Bern pada 6.50 pagi, 8 Jun.
Hasil bedah siasat mengesahkan identiti dan punca kematiannya lemas, kata Duta Besar Indonesia ke Switzerland Muliaman D Hadad dalam satu sidang media secara langsung.
Emmeril dipercayai dihanyutkan arus sungai secara tiba-tiba ketika berenang pada waktu pagi di Sungai Aare, manakala kakak dan rakannya diselamatkan oleh perenang lain.
Mayat Emmeril ditemui pihak berkuasa pada hari ke-12 usaha mencari dan menyelamat. Mangsa dikatakan berada di ibu negara Switzerland itu untuk mengikuti program ijazah sarjana. – BERNAMA