11 JUN: Kementerian Pendidikan (KPM) mempunyai pengalaman dan garis panduan terkini pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD).
Menterinya, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin, berkata pelaksanaan itu bukanlah perkara baharu, kerana di peringkat sekolah rendah, ia sudah dilaksanakan pada 2011, manakala di peringkat sekolah menengah bermula pada 2012.
“Dalam konteks pelaksanaan PBD itu KPM sendiri mempunyai garis panduan terkini iaitu versi 2019.
“Namun begitu, apabila kita lihat tumpuan diberikan kepada peperiksaan khusus, maka PBD ini tidak diberi perhatian yang mendalam.
“Bagaimanapun, dalam konteks pelaksanaan PBD ini kita sedar ada yang mengatakan jumlah kelas atau murid yang terlalu ramai namun dalam konteks pendidikan, kita ada kaedah atau inovasi berkaitan yang boleh diguna pakai termasuk dalam jumlah pelajar yang ramai,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Pelancaran Felda Digital Hub, Coding and Robotic di Sekolah Kebangsaan Sahabat 4, di Lahad Datu, hari ini.
Baru-baru ini, KPM mengumumkan pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) bermula tahun ini.
Mohd Radzi berkata, antara komponen pentaksiran berterusan yang akan dilaksanakan KPM adalah latihan guru selain mengenal pasti pendekatan yang boleh dilaksanakan bagi mengatasi kekangan yang ada.