12 JUN : Umat Islam di Malaysia, seharusnya berasa syukur kerana hidup di sebuah negara yang mengamalkan cara hidup berteraskan prinsip dan acuan Al Quran dengan bebas, aman dan harmoni seperti mana yang termaktub dalam Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perlembagaan persekutuan itu memperuntukkan Islam ialah agama bagi Persekutuan; namun pada masa yang sama, agama-agama lain juga boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana Bahagian Persekutuan.
“Ia juga bersesuaian dengan konsep Tasamuh yang menekankan nilai toleransi dan kebersamaan, selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang mampu menjadikan
masyarakat di negara ini menghargai dan memahami nilai perbezaan.
“Tasamuh adalah perkataan Bahasa Arab yang bermaksud ‘toleransi ’atau ‘berlapang dada’. Dalam maksud yang lain adalah bersikap menerima dan damai terhadap sebarang keadaan yang dihadapi.
“Bagi negara yang memiliki bangsa dan budaya yang majmuk seperti Malaysia, sikap toleransi atau tasamuh sangat penting sebagai alat menyatupadukan kita semua,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam majlis Tilawah Dan Hafazan Al Quran 1443H/2022 di Dewan Besar Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru.
Katanya lagi, dalam realiti Keluarga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, sudah pasti kepelbagaian budaya dan adat resam menjadi satu keunikan yang perlu diraikan, sekali gus mewujudkan masyarakat yang aman dan sejahtera.
Mana-mana budaya yang tidak bertentangan dengan akidah Islam boleh disantuni tanpa sebarang stigma dan diskriminasi.
“Tasamuh adalah asas utama dalam menghadapi keragaman dan perbezaan bangsa dan agama lebih-lebih lagi
dalam konteks negara Malaysia yang mempunyai kepelbagaian bangsa, agama, budaya serta bahasanya.
“Oleh itu, dalam apa juga perkara, konsep Tasamuh dalam bermasyarakat harus menjadi perkara utama kepada Keluarga
Malaysia untuk bergerak ke hadapan sejajar dengan peredaran masa kini,” tegasnya.