12 JUN : Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU, Datuk Rosol Wahid. menafikan desas desus yang mendakwa kononnya ada lagi pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bakal mengikut jejak langkah Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamarudin meninggalkan parti itu.
Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna itu, setakat ini beliau tidak ada mendengar sebarang maklumat tentang perkara itu di mana nama-nama pemimpin yang disebut akan meninggalkan parti tetap menghadiri mesyuarat parti seperti biasa.
“Baru-baru ini pun mereka masih datang mesyuarat MPT, berbeza jika dibandingkan dengan Datuk Zuraida kerana beliau memang sudah tiga atau empat kali tidak datang mesyuarat sebelum mengumumkan keluar parti.
“Oleh yang demikian, saya nafikan khabar angin akan ada lagi pemimpin BERSATU bakal keluar parti dan harap tidak adalah isu seperti itu. Fokus kita sekarang adalah untuk meningkatkan ekonomi rakyat dan membaiki kos sara hidup.
“Itu fokus kita sekarang sehingga PRU dan kita harap semua parti tidak kira BERSATU atau lain-lain, fokus bantu rakyat dan tingkatkan sara hidup mereka kerana semua pihak terkesan sekarang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) di Pasaraya Lotus Tebrau, di sini hari ini.
Antara nama-nama pemimpin BERSATU yang dikatakan akan meninggalkan parti ialah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon yang dikatakan bakal keluar parti, komited dengan perjuangan BERSATU.
Rosol berkata, tindakan Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang tidak menjejaskan parti kerana jawatannya dalam MPT adalah atas dasar lantikan, bukan menang bertanding.
“Kita negara bebas dan demokrasi, semua orang boleh masuk mana-mana persatuan atau badan bukan kerajaan, selagi tidak langgar peraturan, tidak langgar undang-undang,” katanya.
Pada 26 Mei lalu, Zuraida mengumumkan keluar BERSATU, parti diterajui Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan Pusat bersama Barisan Nasional (BN) untuk menyertai PBM, namun terus menyokong kerajaan dan akan berjumpa perdana menteri berhubung kedudukannya sebagai menteri.