16 JUN: Johor membenarkan saf solat berjemaah di masjid dan surau dirapatkan bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid, berkata bagaimanapun setiap jemaah digalakkan membawa sejadah sendiri dan tidak digalakkan bersalaman, manakala pemakaian pelitup muka dikekalkan.
“Aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti kelas pengajian takmir, kuliah subuh, kuliah dhuha, majlis zikir dan seumpamanya juga dibenarkan, begitu juga segala aktiviti memasak dan jamuan dalam kawasan masjid serta surau termasuk aktiviti bermalam.
“Tiada pemeriksaan suhu badan dan tiada had umur jemaah hadir ke masjid dan surau, namun sekiranya mempunyai gejala adalah tidak digalakkan. Majlis perkahwinan juga dibenarkan bagi masjid dan surau yang mempunyai dewan serbaguna,” katanya hari ini.
Katanya, kebenaran itu mendapat perkenan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sebagaimana peruntukan Fasal 57 (A) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor 1895 dan Seksyen 6 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Johor) 2003.
Pada 28 Mac lalu, Johor membenarkan solat berjemaah di masjid dan surau dengan cara merapatkan sejadah tanpa bersentuhan antara jemaah yang ketika itu diminta membawa sendiri sejadah berukuran sekurang-kurangnya satu meter panjang dan 0.6 meter lebar serta lengkap dua dos suntikan vaksin.