13 JUN : Seorang lelaki yang bekerja sebagai penarik kereta ditemui mati dalam keadaan berlumuran darah dipercayai ditetak dengan parang di Taman Eng Ann, Klang, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S Vijaya Rao menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menerima laporan mengenai insiden pergaduhan di kawasan itu pada jam 9.47 pagi.
Menurut beliau, ketika pasukan polis tiba di tempat kejadian, didapati terdapat mayat seorang lelaki yang berlumuran darah.
“Siasatan mendapati lelaki itu warga tempatan berusia 47 tahun dipercayai diserang dan ditetak dengan parang oleh beberapa lelaki. Mangsa yang bekerja sebagai penarik kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan di badan, kedua-dua tangan dan kepala,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Beliau berkata, motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
“Susulan kejadian itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Utara meminta orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan dengan kes ini tampil ke Bahagian Siasatan Jenayah IPD untuk memberi sebarang maklumat berkaitan,” katanya.