13 JUN: Pindaan untuk bacaan kali pertama Rang Undang-Undang (RUU) pemansuhan hukuman mati mandatori akan dibentangkan di Dewan Rakyat Oktober ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata tinjauan umum berhubung pindaan itu akan dilakukan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), dan pihaknya menjangkakan ia akan selesai pada Januari depan.
“Saya yakin kedua-dua Dewan (Rakyat dan Negara) tiada halangan…dan kita ada undang-undang pemansuhan paling awal pada Januari tahun depan,” katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, moratorium ke atas hukuman mati mandatori yang dilaksanakan sejak 2018 akan kekal sehingga pindaan RUU itu dimuktamadkan.
Jumaat lalu, kerajaan mengumumkan ia bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori ke atas 11 kesalahan, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Wan Junaidi memberitahu kerajaan juga akan mengadakan tinjauan awam dalam masa terdekat bagi mendapatkan maklum balas dan pandangan berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori.
“Kita akan membuat tinjauan awam sebelum pindaan itu dibentangkan di Parlimen. Kita akan menerima maklum balas sebagaimana kita lakukan berhubung undang-undang antilompat parti yang mendapat maklum balas sekitar 7,600 responden.
“Kalau berlaku tentangan (bilangan yang menolak lebih tinggi), kita akan membawa kembali pindaan kepada Jemaah Menteri untuk dibuat keputusan selanjutnya,” katanya.