13 JUN : Pemuda UMNO Kedah tidak menolak kemungkinan parti itu bertanding secara solo pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) selepas hubungan UMNO dan PAS di negeri itu semakin retak.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO Kedah, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, berkata kerjasama UMNO dan PAS di bawah Muafakat Nasional (MN) dijangka terkubur susulan tindakan pemimpin PAS yang berterusan menyerang UMNO.
Jelasnya, tindakan pemimpin PAS mengeluarkan pelbagai dakwaan ke atas UMNO mula dikesan berlaku pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hujung tahun lalu, ketika kedua-dua parti masih membentuk beberapa kerajaan negeri.
“Cuma setakat ini MN nampak sudah terkubur sebab PAS sendiri mula menyerang UMNO sejak PRN Melaka pada November tahun lalu.
“Jadi kita bersedia untuk bertanding secara solo serta membuat persiapan ke arah itu,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Sebelum ini, Barisan Nasional (BN) mengumumkan Kedah sebagai antara negeri yang mampu ditawan kembali parti itu pada PRU-15 yang dijangka diadakan dalam tempoh terdekat ini.
Berikutan itu, Syed Mohd Johan menegaskan, UMNO sedia meletakkan calonnya di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah bagi berhadapan mana-mana parti lawan termasuk PAS.
Kerajaan negeri di bawah Perikatan Nasional (PN) yang diterajui PAS kini memiliki 23 daripada 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dengan sebahagian besar dimiliki PAS (15) diikuti BERSATU (6) dan UMNO (2).
Pakatan Harapan (PH) pula memiliki 11 kerusi iaitu PKR (5), AMANAH (4) dan DAP (2), manakala dua lagi kerusi dimiliki oleh Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG).