14 JUN: Kerajaan negeri Johor akan mengkaji semula pelaksanaan cuti hujung minggu yang ketika ini ditetapkan pada Jumaat dan Sabtu.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, berkata tindakan tersebut berikutan keluhan rakyat mengenai cuti hujung minggu yang berbeza antara pihak kerajaan dan swasta sehingga menimbulkan kesulitan kepada mereka.
“Kerajaan negeri akan mengkaji semula perkara ini supaya ibu bapa dan anak-anak dapat berehat pada hari yang sama.
“Perkara ini akan saya umumkan kelak setelah mendapat kaedah yang paling tuntas untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya ketika menyampaikan amanat khas di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (PERSADA), di Johor Bahru, hari ini.
Pertukaran cuti hujung minggu negeri Johor kepada Jumaat dan Sabtu itu berkuat kuasa 1 Januari 2014.