14 JUN : Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) meminta kerajaan Thailand mengemukakan alasan kukuh berhubung tindakannya mengeluarkan ganja daripada senarai bahan narkotik berbahaya.
Penasihat Lembaga Kawalan Narkotik Antarabangsa (INCB), Viroj Sumyai berkata, PBB juga akan meneliti deraf undang-undang berkaitan ganja yang digubal Thailand, lapor akhbar Bangkok Post.
Jelas beliau, sekiranya ia didapati melanggar Konvensyen 1961 mengenai narkotik, Thailand perlu memperbetulkan kekhilafan itu dan membuat laporan semula.
“Sekiranya didapati kawasan penanaman ganja di Thailand boleh membawa kepada kegiatan perdagangan haram narkotik, PBB akan memaklumkan perkara itu kepada Majlis Ekonomi dan Sosial.
“Seluruh dunia akan dimaklumkan menerusi laporan tahunan bahawa Thailand sudah melanggar perjanjian narkotik antarabangsa.
“Jika langkah ini tidak dilaksanakan, INCB akan mendapatkan resolusi daripada Perhimpunan Agung PBB (UNGA),”katanya.
Thailand adalah negara Asia Tenggara pertama yang mengeluarkan ganja daripada senarai narkotik Kategori 5 susulan pengumuman Kementerian Kesihatan Awam, seperti yang dilaporkan akhbar Royal Gazette.
Dalam pada itu, Lembaga Kawalan Narkotik (NCB) turut mengakui terdapat kebimbangan mengenai kesan buruk akibat dasar berkenaan kerana Thailand adalah salah satu negara yang memeterai perjanjian berkaitan narkotik pada 1961.
Di bawah perjanjian itu, ganja diklasifikasikan sebagai bahan terlarang, namun penggunaannya dibenarkan bagi tujuan perubatan dan berada di bawah pengawasan pihak berkuasa.
Meskipun dasar membenarkan penggunaan ganja adalah untuk tujuan perubatan dan kajian, rang undang-undang mengenainya masih belum diluluskan.
“Disebabkan rang undang-undang itu masih belum diluluskan, Kementerian Luar Thailand bimbang kerana ia perlu menjelaskan perkara itu kepada INCB dan negara Asia Tenggara lain.
“Terdapat juga persoalan berbangkit mengenai bagaimana untuk menghalang kemasukan ganja dari Thailand ke negara jirannya serta kesan daripada dasar ‘menghalalkan’ ganja,” kata NCB dalam satu kenyataan.
Bermula Khamis lalu, rakyat Thailand dibenarkan menanam pokok ganja di rumah mereka, manakala lebih 564,000 individu sudah mendaftar dengan Pentadbiran Makanan dan Ubat bagi menanam tumbuhan itu.
Jabatan Pertanian Thailand pula sudah mula mengedarkan kira-kira sejuta pokok ganja kepada 500,000 isi rumah yang berminat bagi menggalakkan penanaman ganja dalam kalangan rakyatnya.