14 JUN : Skuad Harimau Malaya berjaya menamatkan kemarau 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit selepas menewaskan Bangladesh 4-1 dalam aksi terakhir kelayakan Kumpulan E di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.
Malaysia kini berada di ranking ke-154 dunia mencipta sejarah layak secara merit ke pertandingan tersebut selepas lebih empat dekad dan kemenangan malam ini menyaksikan Malaysia melangkah ke kejohanan berprestij itu dengan bergaya.
Kemenangan itu menyaksikan skuad Harimau Malaya menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan E dengan enam mata dan berjaya menempatkan diri dalam kelompok lima naib juara terbaik dari enam kumpulan yang mendapat tiket ke pusingan akhir Piala Asia 2023.
Bahrain yang terlebih dahulu mengesahkan tempat ke pusingan akhir muncul juara Kumpulan E dengan mengumpul sembilan mata, sementara Turkmenistan di tangga ketiga (tiga mata) dan Bangladesh di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Kali terakhir Malaysia membuat penampilan di Piala Asia adalah pada edisi 2007 ketika menjadi tuan rumah bersama, namun sudah 42 tahun pasukan negara gagal layak secara merit sejak edisi 1980 di Kuwait.
Selepas dua perlawanan, skuad kendalian Kim Pan Gon kini berada di kedudukan kedua Kumpulan E berkongsi tiga mata dengan Turkmenistan di kedudukan ketiga selepas tewas 0-1 kepada Bahrain pada aksi terakhir petang tadi sekali gus menyaksikan Bahrain muncul juara kumpulan dengan sembilan mata.
Sementara, pintu ke Piala Asia 2023 buat Bangladesh sudah tertutup selepas tewas dalam dua perlawanan terdahulu.