Amnesty minta India hentikan kekerasan terhadap penunjuk perasaan
15 JUN : Amnesty International meminta kerajaan India segera menamatkan tindakan keras ke atas umat Islam yang turun ke jalan raya bagi membantah kenyataan seorang pegawai parti pemerintah mengenai Nabi Muhammad SAW.
Jurucakap Amnesty, Aakar Patek, berkata pihak berkuasa secara selektif dan kejam menyerang umat Islam yang berani bersuara bagi menentang diskriminasi yang dihadapi oleh mereka.
Tegasnya, membanteras penunjuk perasaan dengan menggunakan kekerasan yang berlebihan, penahanan dan merobohkan rumah sewenang-wenangnya, adalah melanggar sepenuhnya komitmen India di bawah undang-undang hak asasi manusia antarabangsa,” katanya.
Dua penunjuk perasaan terbunuh dan ratusan lain ditangkap minggu lalu dalam bantahan di seluruh negara berhubung kenyataan pegawai itu, yang menjerumuskan India dalam kemelut diplomatik di samping mengundang kemarahan meluas umat Islam seluruh dunia.
Rakaman jentolak merobohkan rumah mereka yang ditangkap atau dikenal pasti sebagai peserta penunjuk perasaan mula tersebar di media sosial.
Lebih 300 orang ditangkap di Uttar Pradesh kerana menyertai perhimpunan itu minggu lalu.
Ketua Menteri Uttar Pradesh, Yogi Adityanath, salah seorang ahli politik nasionalis Hindu yang paling terkenal di India, berulang kali meminta pihak berkuasa untuk merobohkan rumah mereka yang dituduh melakukan jenayah.
Patel berkata, pihaknya turut menuntut pembebasan segera tanpa syarat penunjuk perasaan yang ditahan, selain menyifatkan penangkapan dan merobohkan kediaman itu sebahagian tekanan membimbangkan yang menyasarkan umat Islam.
Sejak berkuasa pada 2014, Parti Bharatiya Janata (BJP) dituduh memperjuangkan dasar diskriminasi terhadap umat Islam.
Kerajaan Perdana Menteri, Narendra Modi, mencadangkan undang-undang kontroversi yang memberikan kewarganegaraan lebih cepat kepada pelarian di India, namun tidak terpakai kepada mereka yang beragama Islam.
Kerajaan BJP di negeri-negeri juga sudah meluluskan undang-undang yang menjadikan perkahwinan antara agama menjadi lebih sukar.
Bandar-bandar di sekitar India menyaksikan demonstrasi yang besar Jumaat lalu, dengan orang ramai membakar patung Nupur Sharma, jurucakap BJP yang mencetuskan kekecohan ekoran kenyataannya ketika rancangan debat TV sebelum ini.
Jumaat lalu juga menyaksikan protes besar di negara jiran, dengan polis menganggarkan lebih 100,000 orang berhimpun di seluruh Bangladesh selepas solat Jumaat.
Seramai 5,000 lagi peserta demonstrasi turun ke jalan raya di bandar Lahore, Pakistan, menuntut kerajaan mereka mengambil tindakan lebih tegas terhadap India atas kenyataan berkenaan.