15 JUN: Sebanyak 47 negara semalam menuntut Ketua Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menerbitkan laporan susulan kebimbangan mengenai dakwaan penindasan di wilayah autonomi Uighur, Xinjiang, China.
Duta Belanda ke PBB, Paul Bakkers yang menyampaikan kenyataan bersama bagi pihak 47 negara kepada Majlis Hak Asasi Manusia PBB berkata, beliau merujuk beberapa laporan boleh dipercayai, biarpun ditolak sekerasnya oleh China, yang menunjukkan lebih satu juta Uighur dan minoriti Islam lain ditahan secara paksa di wilayah itu.
“Terdapat laporan mengenai pengawasan meluas yang berterusan, diskriminasi terhadap Uighur dan golongan minoriti lain,” katanya.
Kenyataan bersama itu menyuarakan kebimbangan mengenai laporan penyeksaan dan layanan atau hukuman kejam, tidak berperikemanusiaan, keganasan seksual, buruh paksa dan pengasingan secara paksa kanak-kanak daripada ibu bapa mereka oleh pihak berkuasanya.
Katanya, semua negara itu mengulangi gesaan terhadap China untuk segera menangani kebimbangan itu serta menghentikan penahanan sewenang-wenangnya terhadap Uighur dan golongan minoriti lain.
Mereka juga menggesa Beijing untuk menyediakan akses lebih luas dan tidak terikat kepada penyiasat dan pakar PBB untuk memerhati secara bebas mengenai situasi di lapangan.
Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi Manusia, Michelle Bachelet sudah diberikan akses melawat wilayah itu bulan lalu, lawatan pegawai Hak Asasi Manusia PBB ke China dalam tempoh 17 tahun.
Bagaimanapun, beliau berdepan kritikan selepas tidak bersuara dengan lebih tegas terhadap dakwaan penderaan China sebelum dan ketika lawatan itu, yang dipercayai dikawal ketat pihak berkuasa China.
Dalam kenyataan bersama semalam, negara-negara itu meminta pemantauan yang lebih terperinci, termasuk sekatan yang dikenakan pihak berkuasa China terhadap lawatan itu.
Sementara itu, Duta China, Chen Xu berang dan menolak keras kenyataan bersama itu, menyelar Belanda dan pihak yang menandatanganinya kerana menyebarkan pembohongan dan khabar angin untuk menyerang China.
“Kami secara mutlak menolak dakwaan itu,” katanya ketika menyelar negara yang menandatangani kenyataan itu yang dilihatnya satu cubaan untuk terbabit dalam manipulasi politik.
Xu memuji lawatan Bachelet, sambil menegaskan ia sudah meningkatkan pemahamannya mengenai laluan pembangunan hak asasi manusia di China.
Bachelet juga berdepan tekanan berterusan untuk mengeluarkan laporan yang sudah bertangguh lama mengenai situasi di Xinjiang, yang didakwa diplomat sudah siap sejak berbulan-bulan lalu.
Bachelet, sebelum ini berikrar bahawa laporan itu akan diterbitkan sebelum beliau berundur pada 31 Ogos depan. – AFP