16 JUN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan mengetahui inti pati dan hasil mesyuarat BERSATU yang dikatakan membincangkan kedudukannya sebagai perdana menteri.
Ini kerana katanya, beliau tidak menghadiri mesyuarat tersebut namun dimaklumkan mengenai desas-desus mengenainya.
“Saya tak tahu apa yang berlaku dalam mesyuarat berkenaan kerana tidak menghadirinya. Apa yang saya tahu, Ahmad Faizal (Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) sudah nafikan dakwaan berkenaan,” katanya di Kuala Lumpur hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), Naib Presiden UMNO menegaskan, tidak akan membincangkan perkara itu secara terbuka kerana ia boleh menjejaskan kestabilan politik negara, sekali gus memberi risiko ketidaktentuan dalam kalangan rakyat.
“Kalau kita tengok kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad (bekas Perdana Menteri) pun, beliau sering menyatakan belum ada ilham ketika diajukan soalan berkaitan PRU.
“Apa yang saya ingin ingatkan ialah PRU-15 memang akan ada dan setiap hari ia semakin hampir untuk kita lalui,” katanya.