16 JUN : Kekerapan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya dijangka akan bertambah baik pada Ogos ini selepas lebih banyak gerabak yang rosak diperbaiki.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, gangguan terhadap sistem kendalian pemanduan automatik tren (ATC) khusus pada tren 4 gerabak jenis 818 menyebabkan brek kecemasan diaktifkan, sekali gus menyaksikan sebanyak 38 insiden brek kecemasan berlaku antara 1 Apr hingga 5 Mei lalu.
“Kekerapan pada masa ini, iaitu sehingga lapan minit antara tren seterusnya akan ditambah baik kepada sekurang-kurangnya lima minit pada Ogos dan kekerapan perkhidmatan dijangka akan bertambah baik dengan sasaran kekerapan tiga minit, pada Nov,” katanya dalam sidang media sempena perasmian MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu.
Mengulas lanjut, Wee berkata, gangguan terhadap kekerapan perkhidmatan tren itu juga berikutan beberapa set tren kini dalam penyelenggaraan.
“Demi keselamatan penumpang, kami mengambil langkah ini untuk mengelak kejadian lebih buruk pada masa depan,” ujarnya.