17 JUN : Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) menyifatkan cadangan melupuskan kenderaan berusia lebih 10 tahun tidak praktikal untuk dilaksanakan di Malaysia.
Timbalan Presidennya, Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata selagi capaian jaringan pengangkutan awam di negara ini masih belum menyeluruh, cadangan itu tidak wajar untuk dilaksanakan.
“Selagi jaringan pengangkutan di negara ini belum boleh dicapai sepenuhnya, kereta merupakan satu keperluan. Cadangan itu tidak praktikal.
“Kita boleh buat seperti Singapura atau Jepun lupuskan kenderaan berusia lebih 10 tahun tapi lihat jaringan pengangkutan awam mereka,” katanya kepada BBC Portal.
Sebelum ini, sekumpulan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mencadangkan agar kenderaan di Malaysia mempunyai had usia tidak lebih 10 tahun bagi menyeimbangkan jumlah antara kenderaan baharu dan lama di atas jalan raya.
Oleh itu, mereka mencadangkan mana-mana kenderaan yang telah melepasi had tempoh ditetapkan perlu dilupuskan supaya tidak berada di atas jalan raya.
Mengulas lanjut, Mohd. Yusof berkata kerajaan perlu memastikan sistem pengangkutan awam di seluruh negara boleh diakses oleh rakyat tanpa mengira lokaliti.
“Jika pengangkutan awam sudah menyeluruh…sampaikan tidak ada alasan untuk rakyat tidak menggunakan pengangkutan awam maka barulah dasar melupuskan kenderaan lebih 10 tahun ini boleh dilaksanakan.
“Naikkan cukai kenderaan bukan solusi malah ia hanya menambah beban kepada rakyat yang sudah sedia terhimpit dengan ekonomi semasa. Ada juga keluarga yang hanya ada sebuah kereta lama yang sudah habis bayar dan tidak mampu nak beli kereta baharu. Ini semua kita kena ambil kira,” katanya.
Tambahnya, di kawasan-kawasan kampung juga masih ramai pemilik yang menggunakan kenderaan lama mereka untuk ke kebun atau ladang. – Oleh NUR EISYA