17 JUN: Bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) pada 2018.
Sehubungan itu, beliau yang ketika itu menjawat jawatan Menteri Dalam Negeri bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan ini.
“Saya dimaklumkan tentang keterangan mahkamah yang diberikan seorang pengurus pentadbiran syarikat UKSB yang terlibat dalam kes sogokan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (bekas Timbalan Perdana Menteri).
“Kononnya, syarikat tersebut telah memberikan wang tunai sebanyak RM1.3 juta kepada saya di antara bulan Jun dan Ogos 2018. Ini memberikan gambaran saya juga menerima sogokan.
“Pernyataan ini adalah palsu. Saya dengan tegasnya menafikan pernyataan tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari ini Mahkamah Tinggi Shah Alam diberitahu Muhyiddin turut menerima sumbangan dana politik RM1.3 juta daripada UKSB pada 2018.
Ketika pemeriksaan balas oleh peguam Ahmad Zahid, Datuk Ahmad Zaidi Zainal; bekas Pengurus Pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata Muhyiddin yang juga Ahli Parlimen Pagoh menerima sumbangan wang tunai RM300,000 pada 4 Jun 2018; RM500,000 (4 Julai 2018) dan RM500,000 (23 Ogos 2018) berdasarkan buku lejar syarikat itu.
Saksi pendakwaan ke-17 itu berkata, kod nama ‘TSM’ dalam lejar ialah Tan Sri Muhyiddin, manakala ‘Team Pagoh’ adalah nama projek.
Mengulas mengenai perkata itu, Muhyiddin berkata, pada masa itu, beliau menjalani pembedahan kanser dan kemudian mengambil cuti selama beberapa bulan untuk rawatan lanjut.
Ketika itu, katanya, tugasan beliau sebagai Menteri Dalam Negeri telah diambil alih oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika itu.
“Hal ini tersebar luas dalam media massa (lihat pautan: https://www.malaysiakini.com/news/433930)
“Malahan pada tarikh tertentu yang dinyatakan oleh saksi kononnya saya telah menerima sogokon wang tunai, saya sebenarnya sedang menjalani rawatan di sebuah hospital di luar negara. Adalah mustahil bagi saya menerima sebarang sogokan wang tunai daripada sesiapa dalam keadaan itu. Dakwaan tersebut ternyata tidak berasas.
“Saya dengan ini menyatakan bahawa saya tidak pernah menerima, secara langsung atau tidak langsung, sebarang wang daripada David Tan, saksi dari Syarikat Ultra Kirana Sdn Bhd, pengarahnya ataupun pemegang sahamnya,” katanya.
Ahli Parliman Pagoh itu juga berkata, tidak pernah disoal atau disiasat oleh pihak berkuasa berkenaan perkara tersebut.
Katanya, diharapkan pihak pendakwaan akan menjelaskan perkara berkenaan supaya tidak menimbulkan fitnah buruk terhadapnya yang tegas menentang rasuah.