17 JUN : Kerajaan Thailand akan mengeluarkan peraturan untuk mengehadkan akses ganja kepada mereka yang berumur sekurang-kurangnya 20 tahun, selepas kebenaran yang diberikan sejak 9 Jun lalu mencetuskan banyak aduan.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kesihatan, Anutin Charnvirakul, berkata beliau akan menandatangani peraturan Khamis depan untuk menetapkan ganja dan hemp sebagai tumbuhan terkawal.
Katanya, mereka yang berumur bawah 20 tahun tidak akan dibenarkan memiliki dan menggunakan tumbuhan itu melainkan mereka mendapat kebenaran daripada doktor.
Tindakan itu susulan laporan tempatan bahawa empat lelaki termasuk pelajar berusia 16 dan 17 tahun dimasukkan ke hospital di Bangkok minggu ini untuk rawatan yang ditakrifkan sebagai terlebih mengambil ganja.
Pentadbiran Metropolitan Bangkok juga berkata, mereka merancang untuk mengharamkan ganja di sekolah.
Kata Anutin lagi, kerajaan akan mengeluarkan peraturan untuk mengehadkan atau melarang penggunaan ganja di khalayak ramai dan mengawal ganja dalam makanan.
Peraturan itu akan menjadi alat untuk pegawai mengawal dan mencegah sebarang penyalahgunaan.