17 JUN: Parlimen Switzerland gagal mendapat kelulusan dalam perolehan vaksin COVID-19 oleh kerajaan bagi tahun 2023.
Dua dewan Parlimen tidak sepakat mengenai permintaan pembiayaan, peraturan belanjawan memerlukan penggunaan versi draf perundangan yang lebih murah, kata agensi berita SDA dalam laporan yang disiarkan di laman web Parlimen.
Sehubungan itu, Kabinet terpaksa merundingkan semula kontrak dengan Moderna dan Pfizer/Biontech bagi jutaan dos vaksin.
Parlimen meluluskan perbelanjaan 560 juta Swiss franc (AS$579 juta atau RM2.55 bilion) dan bukannya 780 juta yang diminta. Ini bermakna kerajaan pada mulanya boleh memperoleh hanya 3.5 juta dos vaksin tambahan setiap satu daripada Moderna dan Pfizer/Biontech dan bukannya tujuh juta setiap satu untuk 2023 yang diumumkan pada Mac.
Laporan itu memetik Menteri Kewangan Ueli Maurer sebagai berkata kontrak vaksin dengan kedua-dua pengeluar itu akan terbatal sepenuhnya sekiranya berlaku pengurangan sehingga kontrak baharu perlu dirundingkan, dengan keputusan tidak pasti.
Undian itu dibuat selepas berita bulan lalu yang mengatakan Switzerland akan memusnahkan lebih 620,000 dos vaksin Moderna yang tamat tempoh apabila permintaan untuk suntikan menurun secara mendadak.
Kerajaan di negara Kesatuan Eropah juga sedang meningkatkan tekanan kepada pembuat vaksin COVID-19 untuk merundingkan semula kontrak, memberi amaran jutaan suntikan yang tidak lagi diperlukan boleh menjadi sia-sia, lapor Reuters minggu ini. – REUTERS