18 JUN : Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi jaminan bekalan makanan termasuk daging mencukupi sempena sambutan Aidiladha.
Timbalan Menterinya Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, keputusan kerajaan membenarkan pengimportan lebih 12,000 lembu hidup khususnya dari Thailand turut membantu memastikan bekalan itu mencukupi.
“(Bekalan) Lembu korban adalah mencukupi setelah kita buka dan beri kebenaran untuk import lembu dari Thailand,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Pemadanan Pekerjaan Subsektor Tanaman di sini hari ini.
Pada 7 Jun 2021, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) menggantung import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta selepas menilai risiko penularan penyakit kulit kental (LSD) yang dilaporkan di lebih 41 wilayah di Thailand.
Selepas beberapa perjumpaan, perbincangan dan penambahbaikan beberapa peraturan dan prosedur import, JPV menarik balik larangan import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta pada 15 Mac lepas.
Pada 2021, Malaysia mengimport sebanyak 12,405 ekor lembu dari Thailand sempena sambutan Aidiladha berbanding 12,553 ekor pada 2020.
Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad berkata warga tempatan terutama belia disaran merebut tawaran kerja dalam sektor tanaman agromakanan bagi mengurangkan kebergantungan pekerja asing dalam sektor itu.
“Jabatan Pertanian menyasarkan pengurangan pekerja asing sebanyak 10 peratus hingga 2030 dengan adanya peningkatan penggunaan teknologi dan penglibatan belia tempatan dalam sektor agromakanan,” katanya.
Menurut Ahmad, rekod Jabatan Imigresen Malaysia turut menunjukkan 156,334 pekerja asing aktif di Malaysia bagi tempoh setakat 30 Jun 2019 dengan bekerja dalam sektor pertanian.
Beliau berkata ketika ini sektor tanaman juga memerlukan hampir 46,000 pekerja asing dan warga tempatan disaran merebut peluang dalam sektor tersebut.- BERNAMA