18 JUN : Seorang terbunuh dalam kejadian kebakaran sebuah kilang kimia, Sinopec Shanghai Petrochemical Co yang menyaksikan kepulan asap tebal hampir menyelubungi keseluruhan bandar.
Kejadian kebakaran itu dilaporkan berlaku kira-kira jam 4 pagi dan hanya berjaya dikawal beberapa jam kemudian, lapor agensi berita Xinhua.
“Kebakaran di tempat kejadian berjaya dikawal dan usaha memadamkan api sedang giat dilaksanakan. Difahamkan, kebakaran menyebabkan satu kematian,” lapor agensi berita itu.
Dalam kejadian berkenaan, penduduk setempat terdengar bunyi letupan dari arah kilang terbabit sejauh kira-kira enam kilometer.
Pihak bomba Shanghai berkata, seramai 500 anggota dikerah ke tempat kejadian sebaik menerima laporan insiden berkenaan jam 4.28 pagi. Kementerian Pengurusan Kecemasan turut menghantar kumpulan pakar ke lokasi kejadian.