18 JUN : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini.
Agensi itu juga menerusi satu kenyataan mengesahkan sudah menerima beberapa aduan terhadap individu terbabit yang tersenarai dalam satu lejar seperti dikemukakan di mahkamah dalam perbicaraan berkenaan.
“Siasatan yang akan dijalankan mengikut bidang kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta SPRM 2009,” kata kenyataan itu.
Ahmad Zahid mula dibicarakan pada 18 November 2019 terhadap 47 pertuduhan dengan 12 daripadanya berkaitan pecah amanah, lapan tuduhan rasuah dan 27 tuduhan pengubahan wang haram, puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Seorang saksi sebelum ini memberitahu Mahkamah Tinggi bahawa Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB) memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2018.
Selain Muhyiddin, antara ahli politik lain yang disebut namanya sepanjang prosiding ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.