19 JUN: 59 terkorban manakala jutaan lain terkandas dalam kejadian ribut monsun yang mengakibatkan banjir besar di Bangladesh dan India.
Hujan lebat berterusan sejak beberapa minggu lalu membanjiri kawasan yang luas di timur laut Bangladesh, dengan pihak tentera dikerahkan untuk memindahkan isi rumah yang terputus dari komuniti kejiranan.
Sekolah dijadikan pusat perlindungan untuk menempatkan seluruh perkampungan yang ditenggelami air dalam beberapa jam apabila sungai melimpah dari tebing.
“Menjelang awal pagi semalam, seluruh perkampungan kini ditenggelami air dan kami semua terkandas,” menurut salah seorang mangsa, Lokman.
“Selepas menunggu seharian di atas bumbung rumah kami, seorang jiran menyelamatkan kami dengan bot sementara.
“Kata ibu saya, dia tidak pernah melihat banjir seumpama itu sepanjang hidupnya,” tambah lelaki berusia 23 tahun itu.
Sementara itu, petir akibat ribut juga membunuh sekurang-kurangnya 21 orang sejak petang Jumaat lalu.
Menurut ketua polis tempatan, Mizanur Rahman, mangsa adalah tiga kanak-kanak berusia antara 12 dan 14 tahun yang disambar petir di bandar pedalaman Nandail.
Inspektor polis, Nurul Islam, berkata empat lain terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang memusnahkan rumah mangsa di tebing bukit di bandar pelabuhan Chittagong.
Sementara itu, 16 orang terbunuh sejak Khamis lalu di kawasan pedalaman India, Meghalaya, manakala di Assam, lebih 2.6 juta orang terjejas akibat banjir selepas hujan turun tanpa henti selama lima hari.
Seramai 18 orang terbunuh dalam banjir atau tanah runtuh di seluruh negeri itu sejak Khamis lalu dengan hampir 7,500 orang diselamatkan semalam menjelang tengah hari.
Ketua Menteri Assam, Himanta Biswa Sarma, memberitahu wartawan bahawa beliau mengarahkan pegawai tempatan memberikan semua bantuan bagi membantu mereka yang terperangkap dalam banjir. – AFP