19 JUN: Amerika Syarikat (AS) menjadi negara pertama membenarkan vaksin COVID-19 Pfizer dan Moderna diberikan kepada kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
Keputusan pihak berkuasa kesihatan AS itu disifatkan Presiden Joe Biden sebagai langkah bersejarah dalam memerangi virus berkenaan.
Jumaat lalu, Pentadbiran Makanan dan Ubatan (FDA) AS, meluluskan penggunaan kecemasan bagi kanak-kanak, yang sebelum ini perlu berusia sekurang-kurangnya lima tahun untuk menerima vaksin.
Bagaimanapun vaksin itu memerlukan kelulusan lanjut daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) AS, agensi kesihatan awam terkemuka di negara itu yang menerimanya semalam.
Pengarah CDC, Rochelle Walensky, berkata pihaknya mengetahui jutaan ibu bapa dan penjaga tak sabar untuk mendapatkan vaksin untuk anak-anak mereka.
“Menerusi keputusan hari ini, mereka boleh,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Sebaik menerima lampu hijau daripada FDA, kerajaan AS mula mengedarkan jutaan dos vaksin ke seluruh negara.
Biden berjanji bahawa ibu bapa boleh mula membuat temu janji seawal minggu depan untuk membolehkan anak mereka divaksin di hospital, klinik, farmasi dan pejabat doktor.
Biden dalam kenyataannya berkata, vaksin itu adalah selamat dan sangat berkesan.
Katanya, buat semua ibu bapa di seluruh negara, ini adalah hari yang memberi kelegaan dan perlu diraikan.
“Dalam beberapa minggu, lebih banyak dos akan dihantar keluar.
“Semua ibu bapa yang mahukan vaksin, boleh mendapatkannya,” katanya.
Vaksin Moderna, yang diberikan dalam dua suntikan selang sebulan, tersedia untuk kanak-kanak enam bulan hingga lima tahun dalam dos yang dikurangkan iaitu 25 mikrogram (separuh daripada dos untuk kanak-kanak berusia enam hingga 11 tahun dan suku bagi 12 tahun ke atas).
Vaksin Pfizer-BioNTech kini diluluskan untuk kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun dan akan diberikan dalam dos tiga mikrogram setiap suntikan, satu persepuluh dos dewasa.
Bagaimanapun, perbezaannya adalah kanak-kanak akan menerima tiga suntikan, dua suntikan pertama sejak tiga minggu, diikuti yang ketiga lapan minggu kemudian.
Oleh itu, kanak-kanak yang menerimanya tidak akan mendapat perlindungan penuh bagi bulan pertama.
Bagaimanapun, kesan sampingannya tidak terlalu serius dalam ujian ubat berbanding vaksin Moderna.
Kira-kira satu perempat daripada kanak-kanak kecil yang menerima Moderna mengalami demam, terutama selepas dos kedua, tetapi biasanya tidak lebih sehari.
Kira-kira 20 juta kanak-kanak AS kini layak, mengikut umur, untuk vaksin baharu. – AFP