19 JUN: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan lebih awal sebelum tempoh mandat Parlimen berakhir pada pertengahan tahun depan.
Naib Presiden UMNO itu berkata, semua jentera Barisan Nasional (BN) perlu sentiasa bersiap siaga menghadapi PRU-15 yang boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja.
“Kita kena perlu sentiasa bersedia, pilihan raya paling lewat boleh diadakan Julai (tahun hadapan), lebih kurang setahun sahaja daripada sekarang, setahun tidak lama bagi parti politik, untuk mengadakan pilihan raya.
“Jadi kena bersedia, itu kalau paling lewat setahun tetapi pilihan raya mungkin lebih awal dari tarikh akhir penggal,” kata Perdana Menteri selepas perjumpaan khas dan ramah mesra petugas Jalinan Rakyat (JR) Wanita Bera bersama Perdana Menteri di Kompleks Rakan Muda di Bera hari ini.
Khamis lalu, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat tarikh sesuai untuk diadakan PRU-15 ialah sehingga habis penggal iaitu hujung Julai 2023.
Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu berkata, BN dilihat mahu mengambil peluang terhadap parti lawan membabitkan tarikh PRU-15.
Mengulas mengenai perjumpaan bersama petugas JR, Ismail berkata yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, beliau bangga dengan usaha membabitkan pergerakan Wanita daripada UMNO, MCA dan MIC dalam melakukan kajian sikap pengundi di kawasan berkenaan.
Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan perjumpaan terbabit sebagai tanda bahawa PRU-15 akan diadakan dalam masa terdekat.
“Soal bila pilihan raya, saya dah beritahu jangan tanya, tapi perlu bersedia dan bersiap siaga.
“Saya dah kata, biasanya dari dulu pun tidak pernah kita berbincang di khalayak tentang tarikh pilihan raya, jadi tunggulah,” katanya.