19 JUN: PAS fokus kepada agenda Penyatuan Ummah dan menolak idea ‘khemah besar’ bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Naib Presidennya, Datuk Mohd Amar Abdullah, berkata parti itu berdiri teguh dengan prinsip kerjasama politik yang menguatkan dulu umat Islam, pada masa sama berdiri pada satu perikatan dengan parti bukan Islam yang tidak ekstrem dan menjulang prinsip Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tidak akan berhenti menyeru seluruh parti Melayu Islam baik UMNO dan BERSATU untuk bersama-sama dalam membina semula negara dan memperkukuhkan umat Islam.
“Prinsip PAS sebagaimana termaktub dalam Perlembagaannya juga jelas bahawa Islam yang paling utama.
“Oleh itu bagi menghadapi Pakatan Harapan (PH) ketika 2018 hingga 2019 lalu, PAS menggerakkan usaha muafakat ummah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Amar menjelaskan usaha itu dilaksanakan dengan parti Melayu seperti UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai ikhtiar menguatkan akar politik Melayu Islam yang semakin goyah.
Pada masa sama, katanya PAS menggerakkan usaha undi percaya kepada Perdana Menteri ketujuh di saat kedudukan beliau diganggu gugat.
“Semua ini tidak lain dan tidak bukan demi Islam dan prinsip kestabilan kerajaan yang dipegang PAS,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau berkata, PAS menyedari situasi semasa umat Islam yang semakin dihimpit dengan pelbagai cabaran dari segenap aspek sejak kebelakangan ini.
Katanya, parti itu dengan segenap kemampuan yang ada menggerakkan usaha memperkenalkan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).
“Terkini, PAS akan meneruskan agenda ini menerusi seruan penyatuan ummah rentas ideologi dan parti politik.
“Rakyat negara ini pasti tidak lupa dengan sejarah hitam 22 bulan negara di bawah pentadbiran PH yang menzahirkan realiti golongan yang cuba menggugat status quo negara serta prinsip asas tunjang negara,” katanya.