Anifah nafi terima dana daripada UKSB
20 JUN : Bekas menteri luar, Anifah Aman terkejut dengan kenyataan saksi kes rasuah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, David Tan Siong Sun bahawa beliau antara penerima dana daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Beliau secara tegas menafikan menerima sebarang bayaran daripada syarikat tersebut dan bersedia membantu siasatan dijalankan pihak berkuasa untuk membersihkan namanya.
Anifah merujuk kepada laporan berita membabitkan keterangan Tan dalam perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri yang juga presiden Umno itu pada 17 Jun lalu.
“Sebagai Menteri Luar, saya bertemu ramai orang dan seingat saya, saya tidak pernah bertemu David Tan atau menerima sebarang wang daripadanya mahupun UKSB.
“Saya tidak mengetahui siapa mereka dan saya tidak pernah berurusan dengan mereka dalam apa perkara sekali pun,” katanya dalam kenyataan.
Dalam keterangan Tan pada perbicaraan berkenaan, bekas pengurus pentadbiran UKSB itu menyebut bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, bekas ketua menteri Sabah Shafie Apdal, Anifah dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Reezal Merican Naina Merican antara penerima dana daripada UKSB.
Nama lain disebut dalam perbicaraan itu adalah Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin dan Menteri Kanan Pertahanan Hishammuddin Hussein.