20 JUN: Kertas kerja berkaitan tambahan kadar elaun sara hidup pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) di United Kingdom (UK) akan dibentangkan kepada kerajaan tidak lama lagi.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata pihaknya kini dalam proses menyiapkan kertas kerja berkenaan selepas menerima aduan kos sara hidup di negara terbabit semakin meningkat.
“Saya sudah berjumpa pelajar tajaan MARA yang kebanyakannya memohon supaya elaun kehidupan harian mereka ditambah kerana kos sara hidup di UK semakin meningkat terutama membabitkan utiliti seperti bekalan elektrik, air, gas, pengangkutan awam dan sewa rumah.
“Jadi, insya-Allah saya akan siapkan kertas kerja untuk diangkat kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Kementerian Kewangan,” katanya di Kuala Nerang hari ini.
Mahdzir mengulas mengenai hasil lawatan kerja ke UK selama tujuh hari minggu lalu yang turut menerima memorandum berkaitan peningkatan kos sara hidup pelajar tajaan MARA di UK.
Memorandum berkenaan disediakan Kelab UMNO UK dan Ireland menerusi satu kajian khas membabitkan seramai 400 pelajar tajaan MARA dan agensi lain sebagai responden.
Dalam lawatan berkenaan, Mahdzir turut memaklumkan pihaknya menerusi Universiti Kuala Lumpur (UniKL) bersedia menjalin kerjasama dengan badan pelesenan antarabangsa berpangkalan di UK, Institute of Railway Signal Engineers (IRSE) berkaitan sistem kawalan isyarat pengangkutan rel.
Katanya, kolaborasi itu dibincangkan dalam pertemuan beliau bersama pihak IRSE ketika berada di UK.