21 JUN: Kementerian Pendidikan akan melaksanakan satu pascanilai menyeluruh berkaitan isu ketidakhadiran calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, isu ketidakhadiran calon bukanlah suatu isu baharu malah angka sekitar 10,000 calon tidak hadir pada peperiksaan tahun lepas adalah lebih kurang sama dengan angka dicatatkan pada tahun-tahun sebelumnya.
Walaupun beberapa faktor menyumbang kepada keputusan calon tidak menduduki peperiksaan tersebut telah dikenal pasti sebelumnya, Mohd Radzi berkata, pihaknya akan menjalankan satu analisis untuk mengenal pasti pendekatan menyeluruh dalam memastikan perkara ini tidak berlarutan.
“Kami sedang teliti keputusan yang baru kita umumkan (SPM 2021). Kita sedang melihat apakah kekangan dan cabaran baharu yang dihadapi dalam konteks ketidakhadiran calon dalam SPM. Secara keseluruhannya, sebelum ini pun berlaku calon tidak hadir dan memilih untuk terus tidak duduki peperiksaan itu.
“Perkara ini yang kami akan lihat secara lebih menyeluruh. Ia tidak boleh kita lihat secara peacemeal kerana perkara ini dah berlarutan sekian lama,” katanya dalam sidang media Majlis Sambutan Ulang Tahun ke-66 Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Perasmian Jendela DBP.
Mohd Radzi berkata, usaha kementeriannya dalam menerapkan konsep ‘Sekolahku Sejahtera’ untuk memupuk minat pelajar kepada sistem persekohanan boleh dilihat sebagai langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah tersebut.
“Antara perkara kita tekankan dalam Sekolahku Sejahtera antaranya adalah untuk mewujudkan suasana sekolah yang cukup seronok untuk (pelajar) hadir, kita tidak perlu paksa mereka dan mereka sendiri merasakan sekolah itu tempat mereka.
“Kalau kita tidak tangani secara menyeluruh dan cerakinkan satu persatu, kita tidak dapat mencari pendekatan atau mekasnime yang sesuai (untuk menyelesaikan masalah itu),” katanya.
Sementara itu, apabila ditanya adakah terdapat kemungkinan pelajar sekolah kini lebih minat untuk bekerja dan tidak menumpukan perhatian kepada persekolahan, Mohd Radzi berkata, beliau sendiri pernah menemui ibu bapa kepada pelajar yang tidak memasuki sistem persekolahan kerana sudah selesa bekerja.
Oleh itu, beliau berkata, kesedaran bahawa sekolah adalah komponen penting dalam pembangunan anak muda perlu dihayati oleh semua termasuk ibu bapa.
“Murid, ibu-bapa, guru-guru dan masyarakat secara bersama perlu bekerjasama bagi memastikan anak kita terus bersekolah,” katanya. – BERNAMA