22 JUN: Nilai jualan sebanyak RM2.4 bilion direkodkan bazar Ramadan dan Aidilfitri pada 2022, demikian mengikut hasil laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata laporan itu adalah berdasarkan kajian yang dijalankan oleh DOSM pada 3 hingga 29 April lalu meliputi semua bazar yang berdaftar dengan pihak berkuasa tempatan (PBT).
Beliau berkata, dari segi pengumpulan data, kaedah yang digunakan ialah temu ramah secara bersemuka, pemerhatian dan panggilan telefon selain data daripada PBT.
Menurutnya, Selangor mendominasi nilai jualan bagi bazar Ramadan dan Aidilfitri dengan merekodkan sebanyak RM600 juta dengan bilangan pekerja seramai 31,563 orang, kemudian diikuti oleh Kuala Lumpur dengan RM400 juta (10,993 pekerja) dan Johor, RM300 juta (22,423 pekerja).
Beliau berkata, ketiga-tiga negeri itu menyumbang 55.5 peratus kepada nilai jualan keseluruhan.
“Di peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan nilai jualan tertinggi dengan RM230.2 juta, diikuti oleh Johor Bahru, RM126.3 juta dan Ulu Langat, RM117.9 juta,” katanya.
Ketua Perangkawan Malaysia dalam ulasannya turut menyatakan bahawa penemuan utama bazar Ramadan menunjukkan Selangor mencatatkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM527.4 juta, diikuti Kuala Lumpur RM359.2 juta dan Johor RM257.4 juta.
Seterusnya bagi peringkat daerah pentadbiran, beliau berkata, Petaling merekodkan nilai jualan tertinggi sebanyak RM213.8 juta, sementara Johor Bahru adalah kedua tertinggi iaitu RM113.6 juta dan diikuti oleh Ulu Langat, RM110.6 juta.
Sementara itu, Selangor mencatatkan bilangan pekerja bazar Ramadan tertinggi iaitu seramai 27,078 orang, diikuti oleh Johor 20,326 orang dan Perak 11,126 orang.
Bagi peringkat daerah pentadbiran, Petaling mencatatkan bilangan pekerja tertinggi iaitu seramai 8,448 orang, Johor Bahru adalah kedua tertinggi dengan 8,110 orang, diikuti oleh Ulu Langat, 5,497 orang.
Sementara itu, bagi prestasi bazar Aidilfitri, Selangor mencatatkan jumlah nilai jualan tertinggi iaitu RM115.8 juta, kemudian diikuti oleh Melaka RM66.7 juta dan Johor, RM44.4 juta.
Di peringkat daerah pentadbiran, Melaka Tengah mencatatkan nilai jualan tertinggi iaitu sebanyak RM61.8 juta, diikuti Klang RM59.4 juta dan Seberang Perai Utara RM23.5 juta.
Dari segi jumlah pekerja, Selangor mencatatkan jumlah pekerja tertinggi bagi bazar Aidilfitri iaitu seramai 4,485 orang, sementara Melaka adalah yang kedua dengan 4,215 orang dan Terengganu 2,442 orang.
Bagi peringkat daerah pula, Melaka Tengah mencatatkan bilangan pekerja tertinggi iaitu seramai 3,838 orang, Klang pula kedua tertinggi dengan 2,754 orang, dan diikuti oleh Kuala Terengganu seramai 968 orang.