22 JUN: Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengakui tidak mengetahui apa-apa sumbangan dana politik daripada Ultra Kirana Sdn Bhd (UKSB).
Perkara itu dimaklumkan beliau menerusi Twitternya hari ini dan bersedia dipanggil pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan berkaitan kes terbabit.
“Saya tidak mengetahui apa pun berkaitan perkara yang telah disebut di mahkamah baru-baru ini.
“Sekiranya mereka (SPRM) ingin memanggil saya bagi melakukan siasatan, seperti kebiasaan sebelum ini, saya akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada semua pihak berkuasa,” katanya ringkas.
Sebelum ini, sorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa UKSB memberi dana sebanyak RM1.3 juta kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2018.
Bekas pengurus pentadbiran UKSB, David Tan Siong Sun, 47, berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal yang mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika lejar syarikat itu dirujuk kepadanya semasa perbicaraan kes rasuah bekas timbalan perdana menteri itu berhubung projek Visa Luar Negara (VLN).
Selain Muhyiddin, antara ahli politik lain yang disebut namanya sepanjang prosiding ialah Khairy Jamaluddin, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, Hishammuddin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Anifah Aman.
Lanjutan itu, SPRM akan membuka kertas siasatan terhadap penama yang dikatakan menerima wang dalam perbicaraan kes rasuah berkenaan.