23 JUN: Sebuah helikopter terhempas di lebuh raya di Virginia Barat semalam mengorbankan enam individu, manakala di Lapangan Terbang Miami pula lebih 100 penumpang terpaksa menyelamatkan diri apabila sebuah pesawat terbakar ketika mendarat.
Helikopter yang membawa pelancong itu berpangkalan di Lapangan Terbang Logan County terhempas di State Route 17 dan masih terbakar ketika pasukan penyelamat tiba di lokasi, lapor WSAZ-TV, memetik Ketua Operasi Pihak Berkuasa Pengurusan Kecemasan Logan, Ray Bryant.
Katanya, laluan State Route 17 dijangka kekal ditutup selama 24 jam bagi membolehkan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan dan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan melakukan penyiasatan di tempat kejadian.
Katanya lagi, helikopter itu adalah model jenis Bell UH-1B, kegunaan era Perang Vietnam.
Sementara itu, pegawai penyiasat dalam kejadian di Lapangan Terbang Miami, kelmarin memberitahu pesawat berkenaan remuk dan terbakar menyebabkan penumpang segera menyelamatkan diri.
Menurut pegawai bomba Miami-Dade, tiga penumpang dimasukkan ke hospital selepas nahas pesawat Red Air Penerbangan 203 itu.
Katanya, tiada kematian atau kecederaan serius dilaporkan dalam kalangan mereka yang berada dalam pesawat itu.
Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB), iaitu agensi kerajaan AS yang bertanggungjawab menyiasat kemalangan penerbangan awam, berkata gear pendaratan utama kiri pesawat itu menguncup (collapse) ketika mendarat.
Pesawat itu kemudian ‘berlepas dari landasan’ sebelum berhenti di kawasan berumput, katanya dengan kebakaran berlaku pada bahagian kanan pesawat.
NTSB berkata, terdapat 130 penumpang dan 10 anak kapal di dalamnya.