23 JUN : Sebarang pandangan yang ingin disampaikan kepada Perdana Menteri hendaklah mengikut saluran yang betul, demikian tegas Ketua UMNO Bahagian Lipis, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad.
Jelasnya, di dalam UMNO sendiri ada pelbagai cara dan saluran untuk menyampaikan maklumat kepada pemimpin.
“Pada pendapat saya tidak sepatutnya Jazlan keluarkan kenyataan sedemikian. Sepatutnya boleh berjumpa empat mata dengan Perdana Menteri, apa yang kita boleh sumbangkan dan bantu.
“Sedangkan nak tentukan tarikh pembubaran parlimen, kita bincang top 5 bersama presiden, dan kepimpinan tertinggi. Perbincangan Top 5 juga berjalan lancar,” ujarnya kepada pemberita.
Semalam, Timbalan Pengerusi UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed mengkritik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai pemimpi yang lemah ekoran isu Kelewatan membuat keputusan mengenai jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin dalam kabinet.
Beliau percaya, Perdana Menteri sedang memberi tumpuan untuk menyelesaikan masalah rakyat, masalah sekuriti makanan, harga barang yang tak menentu.
“Kita sepatutnya bersama-sama dengan Perdana Menteri untuk selesaikan masalah-masalah ini. Bagi cadangan yang sesuai dan boleh membantu.
“Tegur Perdana Menteri ibarat kita tegur seluruh kepimpinan UMNO kerana Perdana Menteri kita adalah orang UMNO.
“Jumpa PM jika ada cadangan yang baik atau apa-apa yang tak puas hati. Kita jaga ukhuwah kita sebagai keluarga UMNO,” tegasnya lagi.