24 JUN: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan Majlis Belia Malaysia (MBM) mengambil langkah proaktif menggerakkan belia sebagai sukarelawan di lapangan bagi memantau sebarang eksploitasi kenaikan harga di pasaran.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Presiden MBM Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid dalam satu kenyataan bersama hari ini menjelaskan, sukarelawan berkenaan akan melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya berlaku lonjakan harga barangan di pasaran.
Menurutnya, perkara itu dilakukan selaras dengan peruntukan di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 (AKTA 723).
“KBS mengambil maklum situasi semasa di mana rakyat melaporkan kenaikan harga barang sedang berleluasa.
“Kementerian ini yakin kerjasama strategik bersama MBM ini mampu menggerakkan golongan belia bagi membantu kerajaan untuk memastikan kepentingan pengguna adalah dilindungi dan terpelihara.
“Untuk tujuan tersebut, Bahagian Rakan Muda, Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) bersama MBM akan mengaktifkan sukarelawan belia di seluruh negara,” katanya.