24 JUN : Kerajaan telah memutuskan untuk tidak menaikkan kadar tarif elektrik dan air di Semenanjung.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, dengan keputusan ini, kadar elektrik dan air kekal seperti sekarang.
“Kerajaan terus komited menampung subsidi sebanyak RM5.8 bilion, meskipun berlaku peningkatan mendadak kos bahan api dan kos penjanaan lain,” kata Perdana Menteri dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, Kerajaan menurut Ismail Sabri turut memutuskan harga ayam di pasaran
tidak akan diapungkan.
Kata Perdana Menteri, harga siling baharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Menteri Pertanian dan Industri Makanan.
“Keputusan yang dibuat ini membuktikan keprihatinan Kerajaan demi menjaga
kepentingan Keluarga Malaysia agar tidak terbeban dengan peningkatan harga dan cabaran kos sara hidup,” tegasnya.