24 JUN : Satu jawatankuasa khas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mula bermesyuarat pada Khamis untuk memutuskan sama ada cacar monyet perlu diisytiharkan sebagai “kecemasan kesihatan awam” global, di tengah-tengah penularan wabak itu di kebanyakan negara-negara Eropah.
Jawatankuasa itu juga akan menasihati ketua WHO sama ada wabak itu mencetuskan Kecemasan Kesihatan Awam yang menjadi Kebimbangan Antarabangsa (PHEIC), iaitu peringkat amaran tertinggi WHO
Sejak awal Mei, kes cacar monyet telah direkodkan di pelbagai negara bukan endemik, termasuk laporan penularan di beberapa negara endemik, menurut WHO.
Setakat 21 Jun, sebanyak 2,746 kes cacar monyet telah dikenal pasti di 29 negara di seluruh rantau Eropah.
Kebanyakan kes mempunyai sejarah perjalanan ke negara-negara di Eropah dan Amerika Utara berbanding negara-negara endemik seperti Afrika Barat atau Afrika Tengah.
Ini merupakan pertama kali kes dan kluster cacar monyet dilaporkan secara serentak di pelbagai negara yang memiliki keadaan geografi berbeza.
“Kebanyakan kes yang dilaporkan setakat ini telah dikenal pasti melanggan perkhidmatan seksual, kebanyakannya membabitkan golongan gay,” menurut WHO.
Sehingga kini ada sembilan jawatankuasa kecemasan di bawah pengawalan kesihatan antarabangsa termasuk dua mengenai polio dan COVID-19.
Wabak cacar monyet ialah orthopoxvirus yang menyebabkan penyakit dengan simptom yang hampir serupa dengan cacar.
Cacar telah dibasmi sepenuhnya pada 1980, tetapi cacar monyet terus menular di negara-negara di bahagian tengah dan barat Afrika, menurut WHO.- BERNAMA