25 JUN: Kerajaan tidak membuat pusingan U sebaliknya mendengar rintihan rakyat berhubung keputusan tidak mengapung harga ayam di pasaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan mengenai pendirian kerajaan akan mengapungkan harga telur ayam atau sebaliknya, akan diputuskan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
“Telur ayam kena tunggu pengumuman Ronald. Namun kita tak u-turn (membuat pusingan U). Waktu itu kita hanya kata harga ayam akan diapungkan. Namun, kerajaan hari ini adalah kerajaan yang mendengar pandangan rakyat.
“Setelah kerajaan mendengar pandangan rakyat dan kita membuat keputusan (tidak mengapungkan harga ayam). Yang pentingnya adalah keputusan itu menguntungkan rakyat,” katanya di Putrajaya, hari ini.
Semalam, Ismail Sabri dilapor berkata, kerajaan memutuskan harga ayam di pasaran negara tidak akan diapungkan, selain harga siling baharu akan diumumkan Ronald, dalam masa terdekat.
Jelasnya, keputusan itu adalah keprihatinan kerajaan supaya rakyat tidak dibebani tekanan berpunca kenaikan kos sara hidup ketika ini.