25 JUN: Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru) menyifatkan langkah kerajaan menaikkan kadar elaun warden di sekolah berasrama di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) sebagai tindakan jangka pendek.
Presiden iGuru, Mohd Azizee Hasan, berkata perhatian juga perlu diberikan kepada isu beban tugas warden dengan mewujudkan guru warden sama seperti guru pusat sumber dan tidak dibebankan dengan bebanan akademik yang berat.
“Selain itu, kajian nisbah warden dengan murid juga perlu dibuat iaitu dengan mengecilkan nisbah warden sedia ada iaitu seorang warden menjaga 50 murid kepada hanya 40 murid saja,” katanya dalam kenyataan.
Baru-baru ini, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin mengumumkan kadar elaun warden di sekolah berasrama bawah KPM akan dinaikkan sebanyak 25 peratus mulai 1 Ogos depan, selepas kali terakhir disemak pada 1997.
Dengan kenaikan itu nanti, kadar baharu elaun ketua warden ialah RM350 sebulan, manakala warden pula RM300.
Mohd Azizee berkata, langkah itu dapat meningkatkan kualiti kerja guru warden dan meringankan beban ditanggung susulan sudah 25 tahun tidak disemak.
“Satu hakikat yang perit ialah guru warden berdepan dan terdedah dengan tindakan saman ibu bapa jika berlaku sesuatu di asrama.
“KPM perlu memastikan kebajikan guru warden terbela dan terjaga bukan saja daripada imbuhan material semata-mata tetapi juga dari sudut peruntukan undang-undang dengan menggubal akta keguruan yang dapat menjamin nasib guru,” katanya.