25 JUN: PAS berpeluang menggunakan logo sendiri pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka memberi kelebihan kepada parti itu.
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata perkara itu masih dalam perbincangan di peringkat tertinggi PN dan keputusannya akan diumumkan kelak.
“Hasil perbincangan akan diumumkan kemudian,” katanya ringkas kepada pemberita di Larut hari ini.
Sebelum ini, Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin, memberi bayangan parti itu akan menggunakan logo sendiri pada PRU-15.
PAS sinonim dengan logo berkenaan yang digunakan sejak 70 tahun lalu.
Dalam pada itu Hamzah enggan mengulas mengenai tawaran Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, mempelawa Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bertanding atas tiket PN mewakili PAS sekiranya kerusi Parlimen Pasir Salak diperuntukkan kepada parti itu.
“Segala keputusan muktamad terletak kepada pucuk pimpinan, jadi saya tak perlu membuat mengulasnya,” katanya.