25 JUN: Seorang pelajar lelaki Tingkatan 2 cedera dibuli termasuk menggunakan seterika panas oleh sekumpulan pelajar senior di sebuah sekolah di Teluk Intan, Khamis lepas.
Dalam kejadian sekitar jam 12.30 malam itu, mangsa dicederakan oleh 10 pelajar senior berusia antara 16 hingga 17 tahun semasa berada di asrama sekolah.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, mangsa dipercayai berpunca daripada perasaan cemburu selepas mangsa berbual dengan seorang pelajar wanita.
Menurutnya, seorang daripada suspek telah membawa mangsa ke bilik asrama dan kemudiannya memukul mangsa secara beramai-ramai termasuk mencederakannya menggunakan seterika panas pada badan.
“Mangsa kemudiannya menghubungi ibunya sebelum dibawa ke Hospital Teluk Intan untuk menerima rawatan.
“Mangsa yang mengadu sakit di bahagian pinggang masih menerima rawatan di hospital berkenaan dan kini berada dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, semua suspek terlibat telah ditahan pada hari sama dan direman selama empat hari sehingga Isnin ini.
“Kes kini disiasat di bawah Seksyen 148/326 Kanun Keseksaan.
“Polis meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan kejadian ini bagi mengelak kegusaran masyarakat yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.