26 JUN : Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, menegaskan sikap memelihara serta memulihara bumi tidak boleh dipandang enteng.
Baginda bertitah, zuriat serta generasi masa depan akan terancam sekiranya dunia dipenuhi dengan kemusnahan, justeru sikap peduli terhadap alam sekitar perlu bermula dari sekarang.
Titah baginda, ia demi melestari dan mengekalkan kehidupan sejahtera bak kata pepatah Melayu ‘di mana ada kemahuan, di situ ada terbentangnya jalan.’
“Dunia perlu dijaga, itu adalah tanggungjawab kita semua bersama. Dalam kata lain, peranan manusialah yang sebenarnya mencorak dan menjaga bumi ini. Sikap memelihara dan memulihara bumi ini tidak boleh dipandang enteng.
“Maka, saya mengajak diri saya dan hadirin sekalian agar kita bersama-sama memainkan peranan menjadi warga dunia yang bertanggungjawab. Jika bukan kita yang menjaga dunia ini, siapa yang hendak mempedulikannya,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian pada Persidangan Pandu Puteri dan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-57 Persatuan Pandu Puteri Malaysia (PPPM) di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh, di sini, hari ini.
Ketibaan Seri Paduka yang juga Penaung Diraja PPPM pada jam 11.08 pagi itu diiringi Yang Dipertua PPPM yang juga isteri Perdana Menteri, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin, dan Timbalan Yang Dipertua PPPM yang juga Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Hadir sama, Penaung PPPM Melaka, Toh Puan Asmah Ab Rahman; isteri Ketua Menteri Melaka, Datin Seri Munira M Yusop; dan Ketua Pesuruhjaya PPPM, Datuk Jeyadhevi Subramaniam.
Seri Paduka sekali gus bertitah, tema persidangan PPPM kali ini, iaitu ‘Dunia Kita, Masa Depan Kita Bersama, Our World, Our Equal Future’, bertepatan dengan fungsi dan peranan sebagai makhluk Allah SWT.
Sementara itu pada majlis berkenaan, seramai 142 individu menerima 14 anugerah daripada PPPM, iaitu Lencana Seumur Hidup membabitkan 36 orang, Pingat Jasa (15), Pingat Agok Bakti Lebah (tiga), Pingat Jasa Lama 20 Tahun (dua), Lencana Jurulatih (seorang), Mutiara IV (empat), Pingat Layang-layang (empat).
Seterusnya, Bintang Kehormatan (seorang), Asia Pacific Leadership Award for Service to Girl Guiding/Girl Scouting (empat), Asia Pacific Leadership Award for District/State Leaders (Commissioners) (lapan), Asia Pacific Leadership Award for Troop/Unit Leaders (dua), Anugerah Pandu Puteri Raja (59) dan Anugerah Srikandi (tiga).
Selain itu, Anugerah Apresiasi diberikan kepada Temasek Foundation International, Singapura, selepas PPPM menerima 5,000 khemah kiub untuk diagihkan ke semua cawangan PPPM bagi sebarang perkhidmatan ketika bencana. – BERNAMA