26 JUN : Presiden Indonesia, Joko Widodo hari ini berkata, beliau menggesa rakan sejawatnya dari Russia dan Ukraine untuk membuka pintu dialog semasa misi pembangunan keamanan ke negara berperang itu.
Beliau turut menyarankan Presiden Russia, Vladimir Putin untuk mengarahkan gencatan senjata serta-merta.
“Perang mesti dihentikan dan rantaian bekalan makanan global perlu diaktifkan kembali,” kata pemimpin yang popular dengan panggilan Jokowi, sebelum berangkat ke Jerman bagi menghadiri sidang kemuncak G7 esok.
Selain itu, beliau akan menggalakkan negara G7 untuk mencari keamanan di Ukraine susulan pencerobohan oleh Russia, termasuk mengusahakan penyelesaian kepada makanan global serta krisis tenaga.
Russia menggelar pencerobohan negara itu ke atas Ukraine sebagai satu ‘operasi khas’.
Dalam perkara berasingan, Menteri Luar Indonesia, Retno Marsudi, berkata produk makanan dan baja dari Russia serta Ukraine perlu diintegrasikan ke dalam pasaran global meskipun perang.
“Ia perlu untuk menjamin satu koridor bijiran dari Ukraine dan membuka eksport makanan dan bijiran dari Russia. Kesemua negara mesti menahan tindakan yang boleh memburukkan lagi krisis makanan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Indonesia mengutuk perang yang berlaku selain menyuarakan simpati republik itu untuk rakyat Ukraine.
Bagaimanapun, Jokowi April lalu berkata, beliau menolak permintaan senjata dari Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky. – REUTERS